Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis pakaian tradisional melayu yang sangat popular, cantik dan menarik untuk digayakan. Baju tradisional ini mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi dan penuh dengan nostalgia lama.
Kebiasaannya pada hari ini, baju tradisional melayu sering kali dipakai untuk hari dan tujuan yang tertentu contohnya seperti acara kebudayaan.
Masyarakat zaman dahulu pula sering menggayakan busana ini ketika majlis perkahwinan, pertunangan dan pernikahan mereka.
Walaupun zaman sudah semakin canggih, pakaian dan cara pembawakan diri juga makin berubah dan mula kemodenan, tetapi busana tradisional ini masih lagi menjadi pilihan dan kegemaran terutama bagi individu yang sukakan suasana penuh klasik dan nostalgia.
Pilihan Pakaian Tradisional Melayu Untuk Majlis Pernikahan
Pakaian Tradisional Puteri Perak
Memang nampak cantik kan? Kalau anda nak tahu, baju tradisional ini merupakan pakaian tradisi negeri Perak di mana ia terdiri daripada seluar panjang, baju, kain samping dan juga selendang.
Ia seakan sama dengan baju tradisional lain iaitu baju kurung cekak musang lelaki. Kalau anda nak tahu juga, pakaian ini tidak dipakai secara sedondon oleh pasangan sebaliknya ia menggabungkan kombinasi warna berlainan.
Kalau anda hendak tahu juga, R.J Wilkinson melalui bukunya yang bertajuk Papers On Malay Subject memberitahu bahawa seluar hitam Puteri Perak adalah berwarna hitam yang bersulam atau dibuat menggunakan songket berbenang emas.
Manakala baju dengan kancing keemasan pula diperbuat daripada kain sutera merah atau hitam dengan lengan yang sempit.
Baju pendek itu turut dibuat menggunakan kain yang mempunyai bunga berwarna merah, ungu, biru dan kadang kala turut menggunakan warna keemasan.
Melalui buku yang bertajuk Pakaian Cara Melayu yang ditulis oleh Prof. Siti Zainon Ismail, beliau menyatakan bahawa tradisi pemakaian seluar di kalangan orang perempuan ini masih diteruskan di Perak.
Pakaian Tradisional Negeri Johor
Johor juga mempunyai pakaian tradisional yang sangat halus buatan dan cantik ketika digayakan. Baju Melayu Teluk Belanga yang diciptakan untuk lelaki mempunyai rekaan yang sedikit longgar ini mempunyai kocek tiga di bahagian depan manakala labuhnya pula adalah sehingga ke paras punggung.
Baju Melayu Teluk Belanga ini digayakan dengan sampingnya dipakai di bahagian dalam baju. Bagi membuatkan ia menjadi lebih menarik, anda boleh menggayakannya dengan memakai songkok tinggi yang diperbuat daripada bahan keras dan fabriknya pula merupakan baldu hitam.
Untuk perempuan pula, seperti nama baju lelaki ia turut digelar sebagai Baju Kurung Teluk Belanga di mana baju ini turut direka dengan bentuknya yang longgar dan labuh.
Anda boleh memakai baju ini dipadankan dengan kain sarung yang diikat secara ikatan Ombak Mengalun.
Untuk aksesori pula, pemilihan Cucuk sanggul adalah aksesori utama di mana ia bukan sahaja dijadikan sebagai perhiasan tetapi turut berfungsi sebagai senjata untuk dijadikan pertahanan diri.
Di bahagian pinggang pula, Kain Dagang Luar diletakkan di paras pinggang yang turut berfungsi menjadi kain kelubung untuk menutup kepala.
Pakaian Tradisional Kelantan
Pilihan lain untuk baju tradisional di hari pernikahan yang seterusnya adalah Baju Putera Raja dari negeri Kelantan yang kelihatan seperti golongan bangsawan ini.
Kalau anda lihat pada gambar di atas, sangat terserlah kecantikan dan keunikan rekaan pada baju tradisional ini.
Untuk busana lelaki, anda akan disertakan dengan beberapa aksesori dan kelengkapan iaitu Setanjak, Baju Melayu Cekak Musang, Samping dan Baju Sikap.
Pakaian ini diperbuat daripada fabrik songket manakala Tanjak pula dari Ikatan Garam Sebuki atau turut digelar sebagai Getam Budu.
Untuk menampakkannya lebih menarik, samping limar atau turut dikenali dengan nama songket ikatan pancung akan dipasangkan di tubuh anda.
Untuk busana wanita pula, pakaian ini mempunyai lebih banyak koleksi dan aksesori yang perlu dipakai.
Antara aksesori pakaian kelantan untuk wanita adalah:
- Demeleh (Mahkota)/Demanis Dahi
- Cucuk Sanggul Berjurai dan Sunting Mala
- Dokoh
- Tali Pinggang
- Pending
- Kain Kembang (Kain tutup dada atau Punca Potong)
- Gelang Tangan
- Kain Kelubung/Selendang
- Kain Sarung (Songket Ikan Seribu Pancung)
- Gelang Kaki
Untuk menggayakannya, anda perlu melilit kain songket panjang untuk dijadikan sebagai kain sarung manakala kain tutup dada-punca potong pula akan dililit ke bahagian dada sebagai kain kemban jantan.
Tali pinggang serta pending akan dipakaikan untuk jadikannya kelihatan lebih kemas dan menarik. Bagi menampakkan anda lebih terserlah lagi kecantikan, selendang panjang songket Jong Sarat akan diletakkan sebagai penutup bahu.
Pakaian Tradisional Melaka
Pakaian tradisional melayu yang seterusnya adalah dari negeri Melaka untuk dijadikan sebagai pakaian pada masa pernikahan anda.
Bagi busana lelaki, si pemakai akan memakai Baju Melayu Cekak Musang yang mempunyai kocek tiga dengan kelabuhannya adalah hingga ke paras pinggang.
Samping pula akan dipakai sehingga di atas lutut bagi anda yang masih belum berkahwin.
Bagi lelaki yang sudah berkahwin pula, ia akan dipakai di bawah lutut.
Pakaian tradisional masyarakat melayu ini juga turut disertakan dengan aksesori bagi dipakai oleh lelaki iaitu hiasan kepala yang dipanggil Destar.
Busana dipakai oleh golongan wanita pula dikenali sebagai Baju Kurung Teluk Belanga yang dipadankan dengan kain seperti kain batik, kain songket dan kain sutera.
Ia dilengkapi dengan hiasan kepala yang dipanggil Sanggul Lintang dengan baju kurung diikat menggunakan ikatan yang dikenali sebagai Ombak Mengalun.
Baju kurung melayu ini turut dihiaskan Sibar Layak atau lapik dada menggunakan fabrik baldu bertekat manik serta labuci.
Pakaian Tradisional Orang Melayu Negeri Sembilan
Kalau anda nak tahu, pakaian yang dipakai oleh lelaki dan wanita dari Negeri Sembilan ini menggabungkan adat pembesar Minangkabau atau Aceh dan persis seperti golongan bangsawan.
Pakaian ini dihiasi dengan sulaman benang emas di bahagian leher baju serta lengan baju. Selain itu, seluar dibuat dengan kaki yang lebar dan longgar dengan pemakaian samping dari fabrik tenun.
Apa yang lebih menarik adalah ia turut dilengkapkan dengan setanjak ikatan Dendam Tak Sudah tersemat rapi di kepala sebagai aksesori penaik seri.
Pakaian rasmi untuk wanita pula adalah baju kurung bergaya bangsawan tanah melayu yang berketurunan Minangkabau. Menariknya, baju kurung telah menggunakan kain yang asalnya dari Pantai Sikek atau dari Baru Bara di Sumatera, Indonesia.
Baju yang akan dipakai ini adalah bersulam benang emas yang bertakhtakan labuci dan kain ini diperbuat menggunakan kain baldu. Baju ini juga mempunyai hiasan kepala iaitu Sunting dan turut dipadankan dengan lapik dada diperbuat daripada fabrik baldu berlekat manik serta labuci.
Semoga dengan perkongsian mengenai baju tradisional melayu ini dapat memberi manfaat kepada anda!