SUDAH menjadi kebiasaan bagi mana-mana jenama sabun untuk menyatakan produk mereka dapat membasmi 99 peratus kuman dan bakteria.
Namun pernahkah anda tertanya-tanya tentang baki lagi satu peratus, mengapa sabun tidak membunuh 100 peratus kuman?
Berikut adalah penjelasan mengenai keberkesanan sabun dalam membasmi bakteria berdasarkan penjelasan Public Health Malaysia.
1. Bakteria tahan
Terdapat beberapa jenis bakteria yang lebih tahan terhadap sabun biasa. Bakteria ini mungkin memerlukan disinfektan atau suhu (rawatan) yang lebih kuat untuk dibunuh.
2. Bakteria tidak berbahaya
Kebanyakan bakteria yang mungkin masih ada setelah mencuci tangan biasanya tidak membahayakan kesihatan.
Tubuh manusia memiliki sistem imun yang berfungsi untuk mengawal dan mengekang jumlah bakteria tersebut.
3. Proses pencucian
Sabun berfungsi dengan cara melarutkan membran lemak bakteria yang membolehkan bakteria dibasuh keluar semasa proses mencuci.
Namun jika teknik mencuci tidak betul atau tidak cukup lama, kemungkinan masih ada bakteria yang tertinggal.
Sebenarnya, keberkesanan sabun juga bergantung kepada cara dan kekerapan penggunaannya.
Untuk memastikan kebersihan optimum, penting untuk mencuci tangan selama sekurang-kurangnya 20 saat.
Dengan cara ini, kita dapat memastikan lebih banyak bakteria dibasmi, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan.
Maka, pernyataan menerusi iklan 99 peratus basmi kuman adalah lebih tepat berdasarkan keberkesanan produk dalam konteks penggunaan harian.
Memahami bahawa tidak semua bakteria berbahaya kepada diri adalah kunci dalam menjaga kebersihan dan kesihatan.