Katerer Tak Datang, RM13,000 Hangus Di Majlis Perkahwinan

Kuala Lumpur: “Saya tetap berharap duit RM13,200 dapat dipulangkan semula,” kata pengantin perempuan yang ditipu pihak katering pada majlis yang diadakan di Dewan Maktab Rendah Sains Mara Serting, Jempol, Negeri Sembilan, 24 Disember lalu.

Raudhah Sakinah Abdul Shukor, 26, berkata, dia juga berharap kerjasama daripada semua pihak dapat membantu menyelesaikan isu itu selepas membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol.

Menurutnya, dia juga bersimpati kepada pasangan pengantin lain yang didakwa turut menjadi mangsa penipuan katerer yang beralamat di Shah Alam, Selangor itu.

“Pihak katering masih boleh dihubungi, cuma tidak memberikan sebarang respons. Difahamkan, ada beberapa lagi pengantin yang bakal melangsungkan majlis mereka dalam masa terdekat turut menjadi mangsa.

“Jumlah kerugian itu bukan sedikit. Duit pun bukan dapat macam itu saja. Kena kumpul dulu. Kasihan juga pada mereka yang sudah membuat bayaran penuh, tapi turut menjadi mangsa. Ada beberapa orang yang mesej saya berkongsi perkara sama. Malah, ada sampai yang bergaduh dengan pasangan,” katanya kepada Harian Metro.

Raudhah Sakinah berkata, polis juga sudah mendapat maklumat lengkap pemilik katering terbabit daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan pasangan pengantin itu berputih mata apabila katerer yang sepatutnya menyediakan makanan untuk 1,000 tetamu, pelamin dan baju kahwin tidak muncul pada majlis yang diadakan.

Disebabkan itu, ahli keluarga pengantin terpaksa bergotong-royong memasak dan meminjam kerusi daripada surau berhampiran untuk majlis perkahwinan itu.

SUMBER : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/12/1044577/pulangkan-semula-duit-kami

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *